Seorang tokoh dan cendekiawan tanahair

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim merupakan antara tokoh dan cendekiawan tanahair yang aktif memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Dedikasi beliau yang tidak boleh dinafikan menjadikannya disegani ramai dan menjai idola kepada anak-anak muda di institusi pengajian tinggi yang mengikuti bidang linguistik dan sastera. Namun selain perjuangan lingustik ini, beliau juga gigih memperjuangan kedudukan serta kebajikan kaum wanita tanahair.
Latar belakang

Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang dilahirkan pada 17 Disember 1939 di Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam bidang akademik, beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Perempuan Kota Bahru (sekarang Sekolah Rendah Zainab). Beliau kemudian telah melanjutkan pelajaran ke Maktab Perempuan Melayu, Jalan Damansara, Kuala Lumpur (kini dikenali Kolej Tunku Kurshiah, Seremban). Setelah itu beliau telah belajar di St. Francis Institution, Melaka sehingga lulus Higher School Certificate pada tahun 1959. Pada 1965 beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Linguistik daripada Universiti Malaya. Seterusnya pada tahun 1975, beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik dari Ohio University, USA.

Kerjaya akademik pula telah bermula dengan perlantikan beliau tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1963. Sepanjang kerja beliau telah berjawatan pensyarah, professor madya dan dilantik Professor Pengajian Melayu.

Antara sumbangan beliau dapat dilihat dari jawatan yang beliau sandang, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 sehingga1983 dan 1992 sehingga 1994 , Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 984 sehingga 1986 dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu dari tahun 1990 sehingga 1992.

Sementara di antara tahun 1989 hingga 1990, beliau telah dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Di sini beliau terus menabur berbakti dalam perjuangan mengutuhkan bahasa Melayu bukan sahaja di tanahair tetapi juga di seluruh dunia. Ini dilihat dari perlantikan beliau selama 14 tahun dalam Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang mewakili Malaysia di pertemuan Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Selain itu beliau merupakan ahli jemputan dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Kepakaran beliau telah menjadikan beliau pakar rujuk bahasa yang sering dijemput. Beliau ada memberi khidmat kepada Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.

Memandangkan kegigihan beliau ini maka tidaklah beliau adalah salah seorang pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi Presiden selama 18 tahun. Kini beliau menjadi penasihat persatuan tersebut.
Pergerakan wanita

Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penglibatan beliau dalam pergerakan wanita bukanlah sesuatu yang baru baginya. Kakak-kakaknya giat aktif alam pergerakan Women’s Institute (WI) di Kelantan. Walaupun beliau bukan ahli persatuan tersebut, beliau sering membantu mereka dalam kegiatan mereka. Di sini beliau mendapat pendedahan awal kepada perjuangan wanita.

Dalam perjuangan pembangunan wanita, beliau telah mengasaskan dua buah persatuan wanita., iaitu PERTIWI (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam) dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

PERTIWI telah ditubuhkan pada 1967 sebagai sebuah pertubuhan berorientasikan projek di mana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan berteraskan pendidikan. Program-program PERTIWI disasarkan bagi wanita dan kanak-kanak terutamanya di kawasan pendalaman. Datuk Dr Nik kini menjadi Ketua I dalam Jawatankuasa Induk. Beliau mengalu-alukan wanita muda Islam menyertai PERTIWI dan bersama PERTIWI menjalankan kerja-kerja amal mereka.

Sewaktu menceritakan pengalaman bersama PERTIWI, beliau menekankan bahawa asas pendidikan merupakan teras utama perjuangan PERTIWI. Pada awal 1970-an, PERTIWI telah menjalankan projek anak angkat bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para pelajar tanpa mengira bangsa dari keluarga miskin. Pengurusan projek ini melibatkan pihak sekolah. Ini kerana kewangan yang diperuntukan akan diuruskan oleh Guru Besar sekolah bagi pelajar terpilih. Guru Besar dipertanggungjawabkan untuk membuka buku simpanan bank dan menyimpan buku tersebut bagi mengeluarkan kewangan yang perlu. Sumber kewangan diterima daripada sumbangan orang ramai dan dibahagikan mengikut purata RM40 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah rendah dan RM60 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Menurut Datuk Dr Nik, antara penderma adalah Datuk Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Syarikat Kentucky Fried Chicken.

Selain itu, PERTIWI juga membawa anak-anak angkat ini ke Kuala Lumpur dalam lawatan sambil belajar serta memotivasikan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan. Anak-anak angkat ini juga berkesempatan bertemu penganjur mereka. Melalui proses ini, anak-anak mengetahui bagaimana merancang pendidikan mereka di samping bercuti semasa cuti sekolah. Menurut Datuk Dr Nik, situasi hari ini sudah bertukar dan kini juga sudah banyak biasiswa dan bantuan kewangan bagi anak-anak dari keluarga miskin yang dihulurkan oleh pelbagai pihak. Ini amat membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapat pendidikan.

Antara aktiviti PERTIWI yang lain adalah mengadakan klinik sehari di kawasan luar bandar bagi kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. Ini kerana masyarakat bertanggapan bahawa terlalu banyak masa terbuang dan amat leceh untuk pergi ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan. Atas faktor ini dan lain-lain faktor sosial lain, rancangan klinik sehari ini diilhamkan bagi membantu mereka di kawasan pendalaman bagi menerima perhatian kesihatan. Dengan itu, Pertiwi bekerja bersama pihak Penghulu, doktor-doktor tempatan dan persatuan tempatan untuk mendapatkan tenaga kepakaran dan sukarelawan. PERTIWI bertanggungjawab mencari bantuan kewangan untuk mendapatkan bekalan perubatan dan makanan. Pihak doktor dan jururawat pula memberi perkhidmatan secara sukarela.

Antara peristiwa yang tidak dapat Datuk Dr Nik lupakan adalah sesuatu yang berlaku lebih lima tahun dahulu. Ketika itu seorang seorang doktor mata mendapat tahu aktiviti PERTIWI akan melibatkan kampung beliau. Beliau amat terkilan telah bersama secara sukarela dalam aktiviti tersebut. Sewaktu menjalankan klinik sehari tersebut beliau dapati bahawa ramai mempunyai masalan penglihatan samada rabun jauh maupun rabun dekat. Maka secara spontan dana dikumpulkan untuk mendapatkan kaca mata bagi penduduk desa yang memerlukan. Menurut beliau, kegembiraan yang tertera di air muka penduduk terutamanya dari golongan tua yang sebelum itu rabun dan telah boleh lihat dengan jelas tidak dapat dilupakan.

Pada tahun 1978 beliau telah dilantik ke majlis Penasihat Kebangsaan bagi Mengintegrasikan Wanita dalam Pembangunan (NACIWID), sebuah badan penasihat tertinggi bagi menasihati kerajaan tentang hal ehwal wanita. Perlantikan ini adalah setelah pulangnya beliau dari melanjutkan pendidikan di USA. Setelah penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat), nama badan tersebut telah diubah kepada Majlis Penasihat Wanita Negara. Beliau sehingga kini memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis. Beliau juga giat dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dalam pelbagai aktiviti. Kini beliau merupakan pengerusi bersama Suruhanjawa Undang-undang dan Hak Asasi Manusi bersama Puan F.R. Bhupalan.
Pengiktirafan dan anugerah

Kegigihan Datuk Dr. Nik yang tidak pernah mengira penat amatlah disegani ramai. Atas jasa dan sumbangannya, beliau telah diberikan anugerah dan bintang. Pada tahun 1989 beliau dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN). Seterusnya pada tahun 1995 beliau menerima kurniaan Johan Mangku Negara (JMN). Manakala pada tahun 1997 beliau telah dikurniakan Johan Panglima Negara (JPN) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau juga telah menerima Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon bagi kecemerlangan dalam bidang pendidikan sebagai Ibu Ilmuwan pada 1995. Kecemerlangan yang berjaya dicapai juga menjadi kebanggaan sekolah beliau. Dalam Perayaan sempena 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah pada 1997 belaiu telah dianugerahkan wanita cemerlang.

Sumbangan dalam bidang bahasa juga diiktiraf dengan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah pada tahun 2001. Beliau juga juga diiktirafkan oleh pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003.

Tambahan pula setelah beliau bersara, Universiti Melayu memberi penghormatan melalui pelantikan beliau sebagai Professor Emeritus pada 2002.
Bidang penulisan

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim juga telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dan penyertaan dalam persidangan samada mengenai isu wanita maupun isu bahasa.

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku tentang pengajian wanita dan pada masa kini menjadi pensyarah sambilan di Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Sejak kebelakangan ini, beliau telah berganding bahu bersama Dr. Rokiah Talib dalam penulisan biografi wanita tanahair. Tindakan ini amat bermakna kerana merupakan satu inisiatif wanita menulis mengenai sumbangan wanita.

Beliau juga telah menghasilkan belasan buah buku dan ratusan makalah mengenai isu bahasa. Antara buku yang terkenal ialah Tatabahasa Dewan (yang ditulis bersama tiga orang ahli bahasa yang lain), Bahasa Malaysia Syntax, Beberapa persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Malay Grammar for Academics and Professionals.
Rahsia kecemerlangan

Falsafah Datuk Dr Nik adalah lakukan bergembira apabila melalukan sesuatu kerja. Dengan ini segala apa yang dilakukan walaupun seberat manapun akan menjadi ringan.

Namun, Datuk Dr Nik sering kali menekankan pentingnya pengurusan masa. Ini menurut belaiu ini amat penting kerana beliau menumpu kepada kerjayanya di samping keluarganya. Bagi DatukDr Nik, seorang ibu kepada empat orang anak, masa perlu dibahagi dengan baik dan kita perlu pastikan bahawa masa yang diluangkan diguna dengan optimum. Kita perlu pandai melakukan yang terbaik bagi sesuatu keadaan. Misalnya memasak, kita tidak perlu jadi “super woman” dan melalukan semua masakan. Kita perlu bijak masak makanan kesukaan anak-anak dan belajar memasak masakan tersebut dengan baik. Ini akan mengembirakan mereka dan mewujudkan suasana yang riang.

Nyata kita perlu bijak mengurus sekiranya ingin berjaya samada masa, keluarga ataupun kerjaya kita. Inisiatif PENITA paparan kehidupan seorang lagi tokoh wanita negara akan dapat merangsangkan generasi kita juga mencapai kecemerlangan seperti ini.

Kenali Jalur Gemilang

Posted: Ogos 1, 2012 in Uncategorized


Bendera Malaysia; (tulisan Jawi: بندرا مليسيا) dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan – Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam – agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja

Sejarah

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur merah dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Pendapat umum diambil kira

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur merah-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.
Reka bentuk terakhir dipilih

Setelah diubahsuai beberapa kali, rekabentuk tersebut telah teliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

“That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.”

Reka bentuk diluluskan

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.
Pembentukan Malaysia

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Singapura berpisah

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
Nama Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

JALUR – menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG – bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
Lirik lagu untuk Jalur Gemilang

Lagu khas yang ditujukan kepada Jalur Gemilang dibuat untuk memperingati dan membanggakan bendera Malaysia disamping memperingati identiti bendera serta menyeru untuk dikibarkan bendera tersebut beserta kemegahan.
Benderaku

Sebelum bendera Malaysia diberikan nama “Jalur Gemilang”, lagu telah dibuat khas untuk bendera Malaysia tanpa menggunakan sebarang rujukan nama khas tetapi terus merujuk kepada “Bendera Malaysia” atau “Benderaku”. Selepas bendera Malaysia telah diberi nama, perkataan di setiap awal perenggan yang mempunyai perkataan “Bendera Malaysia” atau “Benderaku” telah ditukar kepada “Jalur Gemilang”. Walau bagaimanapun, keadaan tidak sesuai memungkinkan orang menyanyikan versi lama di samping menyanyikan lagu baru “Jalur Gemilang”.

Benderaku yang gagah perkasa
Merah putih kuning biru warnanya
Berkibar megah penuh bercahaya
Pusaka kita rakyat Malaysia

Bendera Malaysia oh bendera ku
Ku pertahankan sepenuh raga ku
Dikaulah lambang negara berpadu
Di bawah naungan Duli Tuanku

Berkibar terus oh bendera ku
Kau kan ku junjung sepanjang waktu
Harumlah nama negara yang tercinta
Padamu tempat taat dan setia

Bendera Malaysia bendera kita
Kemegahan rakyat kita semua
Berkibar berkibar di ruang angkasa
Dirgahayu bendera tercinta.

Ciptaan dan Senikata: Tony Fonseka
Jalur Gemilang

Ketika “Jalur Gemilang” dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama yang bermula melancarkan dirasmikan pada tarikh 9 Ogos 2003.

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua
Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
Jalur Gemilang

Ciptaan dan Senikata: Pak Ngah & Siso Kopratasa

Kibarkan Jalur Gemilang..

Posted: Julai 30, 2012 in Uncategorized



KIBARKAN TANDA KASIH DAN CINTA ANDA TERHADAP NEGARA BERTUAH INI…
INILAH TANAH TUMPAH DARAH KITA…JAGAILAH IA DENGAN SEPENUH JIWA RAGA…

Selamat Berpuasa buat semua

Posted: Julai 30, 2012 in Uncategorized

Alhamdulillah, telah separuh sesi persekolahan tahun ini kita lalui dengan penuh rahmat dan nikmat daripada Allah swt. Sesi P&P telah berjalan dengan lancar, saya amat berharap murid-murid sekelian dapat menguasai pelbagai kemahiran yang telah dikongsi bersama. Kemahiran berbahasa memerlukan latihan dan minat yang mendalam. Masa beberapa hari yang tinggal sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin untuk mengulangkaji dan membuat latihan yang bersesuaian. Perhatikanlah semula pelbagai contoh karangan yang telah saya beri untuk mengingat kembali format dan pola ayat yang digunakan.

Akhir sekali saya berdoa semuga  semua pelajar saya akan mendapat A dalam Pemahaman dan Penulisan. Ayuh, berusahalah…kalian semua berpotensi untuk berjaya…

Salam buat semua pelajar 5USM..

Terdapat beberapa fail penting yang saya kepilkan di dalam portal ini. Untuk kali ini saya harap para pelajar semua dapat memuat turun fail yang berjudul “Koleksi Simpulan Bahasa” yang terdapat di ruangan Box di sebelah kanan portal.  Koleksi ini dapat menambahkan lagi pengetahuan para pelajar mengenai Simpulan Bahasa Melayu yang sering digunakan sehari-hari.

Dua hari Berkursus EduWebTV

Posted: April 24, 2012 in Uncategorized

Pada 25 dan 26 April saya akan mengikuti Kursus EduwebTV di Pusat Kegiatan Guru. Kelihatannya P&P tidak dapat berjalan lancar pada minggu ini. Diharap para pelajar tidak akan leka dan sentiasa menggunakan portal ini untuk membuat latihan dan menambahkan pengetahuan sedia ada. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya sering keluar berkursus? Jawapannya mudah sahaja…guru guru harus sentiasa dinamik dan fleksibel dalam melaksanakan wawasan sekolah. Selamat belajar dan selamat berusaha.